KOTA BHARU - Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Pasir Mas tampil garang apabila mengetepikan 11 pasukan lain untuk menjuarai Kejohanan Bola Sepak Bawah 11 Tahun Luar Musim MSS Kelantan 2015, Ahad lalu.
Kejayaan tersebut membolehkan MSSD Pasir Mas menjulang Piala Suzuki yang disumbang Nasrom Motor Sdn Bhd selaku penaja utama kejohanan itu sejak tiga tahun lalu.
Tiga gol pantas dalam tempoh lapan minit awal babak pertama memastikan kejuaraan multak milik MSSD Pasir Mas itu apabila membenam cabaran MSSD Tanah 3-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Mini Kijang Emas, di sini.
Skuad kendalian Khairil Hisyam Ismail hanya memerlukan tiga minit untuk berada di depan Mohd Alif Haikal Mokhtar merembat masuk gol pertama setelah berlaku kekalutan di depan pintu gol MSSD Tanah.
Kerapuhan pertahanan MSSD Tanah Merah sekali lagi dihukum apabila membenarkan Nur Muhammad Alif Haikal Zulkifli Kang menanduk masuk bola sepakan bebas Mohd Shamsul Che Rani sekali gus menewaskan penjaga gol lawan tiga minit kemudian.
MSSD Pasir Mas semakin ghairah dan kali ini tiba giliran Muhamad Kardafi Salleh mencetak nama selaku penjaring apabila menolak masuk gol ketiga untuk menewaskan Muhammad Amirul Fareed Fauzi pada minit kelapan.
Meskipun bangkit merapatkan jurang menerusi Mohd Iskandar Mukhriz Shah Mohd Khairul pada minit ke-11, namun usaha MSSD Tanah Merah untuk mencabar kejuaraan menemui jalan buntu setelah gagal menambahkan jaringan pada babak kedua.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Zulkifli Mohd Noor. Hadir sama Ketua Unit Sukan JPN, Muhammad Nuzulhan Muhammad Zain dan Pengarah Urusan Nasrom Motor Sdn Bhd, Nik Mohd Nasron Ab Halim.
Sementara itu, Zulkifli berkata, kejohanan peringkat umur itu diadakan bertujuan untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan pemain berusia 11 tahun di seluruh negeri ini.
“Kita akan buat tindakan susulan dengan melaksanakan program hujung minggu selepas ini. Kita ada panel pemilihan yang sudah pun menilai bakat pemain untuk digilap bagi pembentukan skuad bawah 12 tahun,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Nik Mohd Nasrom berkata, pihaknya menaja pelbagai kejohanan sejak 18 tahun lalu dan akan meneruskan kerjasama dengan MSS Kelantan menganjurkan pertandingan.

sumber : sinar harian